KUCHING: Mayat pelajar Tingkatan Dua SMK St Joseph Kuching yang lemas di Sungai Kampung Bintangor telah ditemui pada jam 10.47 malam tadi.

Sebelum kejadian, Justin Connelies Philip berusia 14 tahun terjun dan mandi bersama dua rakannya selepas tamat sesi petang persekolahan.

Dalam kejadian 5 petang itu, tiga sekawan baru balik dari sekolah dan makan bersama-sama di sebuah gerai berdekatan tempat kejadian.

Memberitahu Suara Sarawak, dua rakan mangsa Ahmad Rafiaiman Turmizee 14 dan Airulazwa Muhd Daniel 13, selepas makan mereka mengambil keputusan untuk mandi.

“Mangsa terjun dan terkapai-kapai menggapungkan diri. Kami cuba menggapai tangannya, namun tidak mampu kerana arus deras.

“Dia tenggelam,” kata kedua-duanya yang masih terkejut dan sedih.

Operasi SAR ditamatkan serta-merta pada jam 11 malam tadi.