BAU: Sebanyak tujuh kampung di Daerah Bau membabitkan 1,910 isi rumah bakal menikmati bekalan elektrik luar bandar di bawah skim lewat daftar.

Menteri Utiliti Datuk Seri Stephen Rundi Utom berkata, kerja penyambungan elektrik di kawasan luar bandar kini mencapai 97 peratus.

“Luar bandar bakal diterangi elektrik 24 jam pada hujung tahun ini.

Kerja pemasangan sedang giat dilakukan dan ada beberapa perkara perlu diambil kira di bawah Prsedur Operasi Standard (SOP).

“Kami juga faham, tidak semua penduduk mampu. Jadi Kerajaan Sarawak memberi bantuan untuk penyambungan elektrik di bawah RM5,000 secara percuma,” katanya pada Majlis Pelancaran Projek Bekal Elektrik Luar Bandar dan Projek Bekalan Air Daerah Bau, di Dewan Serbaguna Kampung Suba Bau di sini, semalam.

Katanya, jika bayaran melebihi RM5,000 hingga RM10,000, kerajaan membantu membayar 70 peratus kos penyambungan terutama bagi golongan B40. Skim itu dilaksanakan bagi penyambungan elektrik ke rumah yang tertinggal atau baharu dibina.

Manakala bagi bekalan air pula Rundi berkata, banyak kawasan luar bandar menghadapi masalah kekurangan bekalan air akibat tekanan air rendah”

Kami fokus mendengar aduan rakyat supaya mampu memberikan perkhidmatan yang lebih baik.

“Saya berharap agar agensi terlibat menerima baik aduan yang dibuat oleh rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata, Kerajaan Sarawak akan sentiasa mencari jalan untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada kawasan yang memerlukan khususnya luar bandar.

Jelasnya, projek bekalan elektrik luar bandar dan projek bekalan air di daerah Bau bakal memberi manfaat kepada penduduk Batu Kitang, Serembu, Tasik Biru dan kawasan berdekatan.