MIRI: Tindakan cuba meleraikan pergaduhan sepasang suami isteri menyebabkan seorang wanita nyaris menjadi mangsa tembak senapang patah dalam kejadian di rumah Jelani, Saeh Putih Niah.

Difahamkan, kejadian berlaku sekitar jam 5 petang ketika mangsa berada di dalam rumahnya sebelum mendengar pergaduhan berlaku antara suspek dan isteri, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, kejadian berpunca selepas suspek (suami) warga tempatan berusia 68 tahun itu marah akibat ditegur oleh mangsa agar tidak bergaduh dengan isterinya ketika mabuk.

Menurutnya, suspek ketika kejadian berada dalam keadaan mabuk.

“Siasatan awal mendapati mangsa pada mulanya cuba meleraikan pergaduhan suspek bersama isterinya.

“Suspek dikatakan marah akibat ditegur mangsa bertindak masuk ke rumahnya dan membawa keluar senapang patah jenis SBBL 12 Bore Shotgun Bore sambil berkata mahu menembak mangsa,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, katanya, mangsa dalam keadaan takut segera melarikan diri daripada tempat kejadian.

Dedah Meng, mangsa, 39 tahun itu merupakan jiran kepada suspek dan mereka menetap di rumah panjang yang sama.

Tambahnya, suspek kemudiannya ditahan dan dibawa ke balai polis Miri bagi siasatan lanjut dilakukan.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.