BINTULU: ADAP 4ORTY Travel & Tours Sdn. Bhd. dengan kerjasama ahli jawatankuasa Masjid Al-Amin, Kampung Haji Ismail Kuala Tatau, telah menganjurkan Program Khidmat Masyarakat ADAP 4orty.

Pelbagai aktiviti telah dijalankan sepanjang sehari program seperti gotong royong membersihkan kawasan dalam dan sekitar masjid, mengecat masjid, memasak dan menyediakan makanan dan penyampaian sumbangan ikhlas kepada asnaf dan masjid.

Acara ringkas perasmian dan penyampaian sumbangan kepada asnaf dan masjid disempurnakan oleh Pengarah Urusan Syarikat ADAP 4orty Travel & Tours Sdn. Bhd., Dayangku Atiqah Awang Daud mewakili pengerusi syarikat, Y.M Dato’ Pengiran Daud Pengiran Putera.

Dayangku Atiqah dalam ucapannya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada para tetamu, AJK-AJK Masjid dan penduduk kampung setempat yang hadir membantu dalam menjayakan program tersebut.

Layanan yang sangat ramah dan semangat kerjasama dan komitmen yang diberikan sangat memberangsangkan, katanya.

Beliau berharap jalinan ukhwah ini akan terus dapat dikekalkan di masa akan datang.

Aktiviti diteruskan di mana pada sebelah petang pula akan diadakan sesi pengenalan pakej Umrah dan pengurusan asas dan pada sebelah malam pula akan diadakan tazkirah dan rawatan Ruqyah Syar’iyyah dari Persatuan Perubatan Islam Ruqyah Syar’iyyah Bahagian Bintulu.

Penghulu Kuala Tatau,Haji Rahim Haji Shadan Ketua Kampung Haji Ismail, Haliza Haji Mudin, Ketua Kampung Nur Iman, Ramli Tema, Ketua Kampung Hilir, Morsidi Seka, Ketua Kampung Seberang Jaya, Lukman Juwen, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Al-Amin Kuala Tatau, Haji Sahari @ Sari Man hadir sama.