LIMBANG: Tapak pasar tamu pada setiap Khamis dan Jumaat dapat membantu mempromosikan serta mengembangkan penanaman dan makan buah-buahan tempatan di Bahagian ini.

Pengerusi Penganjur Program Komuniti Bersama Peniaga Gunda Upe berkata, ini kerana tapak tamu kini menerima sambutan hangat daripada masyarakat setempat.

“Lebih 400 peniaga (gerai) sudah memasarkan pelbagai jenis buah-buahan serta produk tempatan lain di tapak tamu ini.

“Jumlah ini melebihi sasaran kami iaitu hanya 200 gerai,” katanya berucap pada Program Pembangunan Komuniti Bersama Peniaga Pesta Buah-Buahan 2020 di sini, semalam.

Gunde berkata, rata-rata peniaga di tapak tamu ini menyatakan pendapatan mereka turut meningkat berbanding sebelum ini.

Ini kerana masyarakat setempat mahupun luar sentiasa mahukan dan membeli barangan yang dijual di tamu tersebut, jelasnya.

“Seperti hari ini (semalam), kita dapat melihat ramai yang datang berkunjung ke tamu ini untuk membeli buah-buahan dan produk tempatan lain.

“Bukan sahaja masyarakat setempat, malah ada dari negara Brunei dan Sabah. Kehadiran mereka ini juga meningkatkan sektor pelancongan Limbang,” tambahnya.

Pelbagai aktiviti menarik dianjurkan kepada pengunjung, antaranya pertandingan durian paling sedap, pertandingan meneka berat durian dan makan durian percuma.

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail; Adun Batu Danau Paulus Palu Gumbang; Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Antonio Kahti Galis; wakil Residen Limbang Aspalela Mohd Sahmoni; Pegawai Daerah Limbang Superi Awang Said; Walikota Majlis Daerah Limbang Kaunselor Sufian Mohat dan Timbalannya Kaunselor Dahlan Dullah; serta Setiausaha MDL Petrick Linggie Taboh turut hadir.