BINTANGOR: Seorang penjual ikan dikejutkan dengan penemuan sekujur tubuh tidak bernyawa di bahu jalan berhampiran Tanjung Manis ketika dalam perjalanan membawa ikan ke Sarikei, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 11.00 pagi itu, Mohd Sofie Bujang, 43, pada mulanya menyangka orang cedera sebelum meninjau dengan lebih dekat.

Bagaimanapun, dia terkejut selepas mendapati ia mayat seorang lelaki sebelum menghubungi polis Tanjung Manis untuk memaklumkan penemuan tersebut.

“Ketika sedang memandu lori itu menghala ke Sibu, saya terlihat manusia terbaring di tepi jalan. Saya menyangka dia cedera dan mungkin memerlukan pertolongan.

“Saya kemudian memperlahankan lori dan menghampirinya. Sebaik sahaja ditiba di situ, saya terkejut melihat sekujur tubuh yang sudah tidak bernyawa.

“Sejurus itu, saya bergegas mengambil plastik besar untuk menutupi mayat itu sebelum membuat laporan di Balai Polis di Tanjung Manis,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Meradong, Deputi Superitendan Polis (DSP) Sekam Anoi ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan mengenai kejadian terbabit.

Menurutnya, mayat dijumpai orang ramai di tepi jalan Simpang Tanjung Manis Daro berdekatan dengan jambatan Stubah Bintangor.

“Hasil siasatan awal, mayat yang mempunyai tatu, dipercayai dalam bahasa Thailand ini mengalami luka bahagian atas kepala dan patah di pengelanggan tangan dan siku.

“Setakat ini, kita belum mengenalpasti identiti sebenar mayat ini. Sehubungan itu, orang ramai yang kehilangan anggota keluarga boleh menghubungi balai Polis Bintangor,” katanya.