MAKKAH: Arab Saudi mengosongkan lokasi paling suci Islam, semalam, bagi menjalankan sterilisasi berikutan kebimbangan terhadap Covid-19 selepas ia ditutup dengan penggantungan sementara ibadat umrah, lapor media negara ini.

Keputusan penggantungan itu turut membabitkan rakyat dan penduduk di Arab Saudi, selepas penguatkuasaan sama ke atas jemaah dari luar negara diumumkan pada minggu lalu dalam usaha membasmi penularan virus.

Siaran televisyen negara ini menunjukkan keadaan lengang di sekitar Kaabah yang lazimnya padat dengan puluhan ribu jemaah.

Saudi Press Agency yang dikendalikan kerajaan memetik pegawai masjid berkata, sebagai langkah berjaga-jaga, kawasan berkenaan ditutup selagi ibadat umrah digantung tetapi jemaah dibenar menunaikan solat di dalam masjid. Menurut pegawai itu lagi, Masjidil Haram serta Masjid Nabawi di Madinah ditutup sejam selepas solat Isyak dan dibuka semula sejam sebelum solat Subuh bagi membolehkan pelaksanaan kerja pembersihan serta sterilisasi.

Sekumpulan pekerja pembersihan dilihat menggosok dan mengelap jubin di sekitar Kaabah.

Seorang pegawai Arab Saudi memberitahu AFP, keputusan menutup kawasan terbabit julung kali dilakukan. Kelmarin, Arab Saudi menggantung sementara ibadat umrah ke atas rakyat dan penduduk di negara ini kerana bimbang Covid-19 menular di kota suci.

Ia menyusul langkah pihak berkuasa menggantung sementara visa umrah dan melarang rakyat dari negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) untuk memasuki Makkah serta Madinah, minggu lalu.

Semalam, Arab Saudi mengesahkan tiga jangkitan baharu coronavirus, menjadikan jumlah lima kes dilaporkan, setakat ini. – AFP

Foto: AFP/ABDEL GHANI BASHIR