SERIAN: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas memuji usaha syarikat swasta, Borneo Empurau Farm and Resort Sendirian Berhad (Sdn. Bhd) yang menjalankan penyelidikan perikanan menggunakan teknologi terkini.

Menurutnya, usaha Borneo Empurau Farm and Resort Sdn. Bhd yang melakukan penyelidikan terhadap ikan empurau, tilapia dan udang boleh menjadi contoh kepada usahawan pertanian lain untuk meningkatkan keluaran produk masing-masing.

“Empurau di Borneo Empurau Farm and Resort Sdn. Bhd ini diternak di dalam kolam apabila rasanya mungkin berbeza daripada ikan yang sama di sungai. “Ia adalah satu cabaran kepada syarikat ini untuk menjadikan rasa ikan empurau dalam kolam sama seperti di sungai melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) menggunakan teknologi terkini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat tapak pembinaan Borneo Empurau Farm and Resort Sdn. Bhd yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun ini di Batu 33, Jalan Kuching-Serian di sini baru-baru ini.

Menurut Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, usaha Borneo Empurau Farm and Resort Sdn. Bhd untuk mempercepatkan pembesaran ikan tilapia seberat 500 gram dalam tempoh empat bulan adalah salah satu kejayaan hasil daripada R&D.

“Saya amat kagum dengan pihak swasta (Borneo Empurau Farm and Resort Sdn. Bhd) yang dapat memainkan peranan membangunkan produk pelancongan dan penyelidikan di kawasan Tarat ini. “Malah, Kerajaan Sarawak tidak membelanjakan satu sen pun untuk membantu syarikat ini sekali gus menunjukkan pengurusannya mempunyai visi yang jelas,” tegasnya.

Katanya, ia membuktikan Sarawak mempunyai potensi yang besar dalam pertanian moden apabila negeri ini sedang bergerak ke arah pengeluar makanan menjelang tahun 2030. “Bagaimanapun, usahawan pertanian harus mengetahui piawaian yang ditetapkan oleh negara pengimport untuk me-nembusi pasaran antarabangsa.

“Sebab itu, R&D amat penting dalam kita mengeluarkan produk cepat membesar dengan harga kompetatif tanpa mengabaikan kualitinya,” ujarnya. Ketika ditanya mengenai pemberian sebarang dana oleh Kerajaan Sarawak kepada pihak swasta di negeri ini, Uggah mem-beritahu, perkara terbabit sedang dibincangkan.

“Kerajaan berperanan memantau aktiviti usahawan di Sarawak yang menekankan dasar R&D. “Namun, kita akan membincangkan sebarang pemberian insentif kepada mereka kelak,” katanya. Hadir sama, Menteri Muda Pembangunan Wilayah, Datuk Roland Sagah Wee Inn dan pemilik Borneo Empurau Farm and Resort Sdn. Bhd, Datuk Yong Fook Heng.