HASRAT Kuching FA untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata tidak kesampaian setelah tewas 2-1 kepada Kelantan United dalam aksi Liga Premier di Kota Bharu malam semalam.

Agak malang buat skuad warga kota itu apabila terjaring ke gawang sendiri pada minit ke-54 melalui Razziman Razali.

Kuching memulakan aksi dengan langkah positif apabila mendahului pada minit ke-19 menerusi ketua pasukan, Rafiezan Razali.

Namun Kelantan United mengimbangi kedudukan tiga minit kemudian menerusi bintang importnya, Gassama Alfusainey.

Kuching FA lebih banyak menguasai bola dan mencipta beberapa peluang melalui gandingan tiga serangkai, Joseph Kallang Tie-Hudson DiasLeonardo Alves, namun gagal menyempurnakan peluang.

Ia merupakan kekalahan kedua setelah tumbang 2-1 di gelanggang sendiri kepada UKM FC pada 29 Februari lalu.

Skrip kedua-dua perlawanan tersebut hampir sama, menguasai permainan, mencipta peluang, namun akhirnya kalah.

Malah menurut jurulatih Kuching FA, Ideris Untong, aksi malam semalam lebih baik.

“Game para pemain semakin bagus, ada peningkatan dari
segi penguasaan bola.

“Sekiranya kita dapat score dengan peluang yang ada, mungkin boleh menang atau seri.

Serangan kita banyak mempersia-siakan peluang,” kata Ideris.

Mengenai jaringan sendiri Razziman Razali pada awal babak kedua, Ideris menjelaskan;

“Ia adalah kealpaan pemain pertahanan kita… kesalahan komunikasi dalam kalangan pemain.”

Bagaimanapun, menurutnya, prestasi pasukan selepas itu semakin baik, cuma gagal memanfaatkan peluang jaringan.

“Ia agak menyedihkan… yang pasti, bukan rezeki kita,” ujar Ideris. Kuching FA tampil dengan formasi 4-3-3 dengan mempertaruhkan Tommy Mawat, Rafiezan Razali dan Yuta Suzuki di bahagian tengah.

Sementara Alves, Hudson dan Joseph berfungsi di bahagian serangan.

Manakala benteng diterajui oleh Mazwandi Zekeria bersama-sama Yuki Tanigawa, Rames Lai Ban Huat dan Razziman Razali.

Mohd Iqbal pula menjaga benteng terakhir. Mereka akan menentang T-Team di Stadium Sarawak Selasa depan (10 Mac).