Kehilangan Patrick Igih terus misteri

PANTU: Kehilangan Patrick Igih pada Rabu lalu di sebuah pondok ladang sawit Rh. Merinding, Rapak Pantu Sri Aman sehingga kini masih menjadi tanda tanya.

Ke mana ghaibnya anak kecil berusia tiga tahun 11 bulan itu?

Jika dengan orang, siapakah bersamanya kini? Bagaimanakah keadaannya? Apakah makanannya?

Kehilangan Igih umpama satu misteri selepas pasukan mencari dan menyelamat (SAR) belum menemui jejak biarpun operasi sudah masuk hari keempat.

Setiap ceruk diredah, baik hutan rimba dan sungai, namun jawapannya tetap sama, Igih masih hilang!

Paling terasa sudah pasti si bapa, Mohd. Taufik dan khabarnya sangat berharap anaknya itu ditemui dalam keadaan selamat.

Mendengar cerita penduduk, kawasan tersebut dipercayai sedikit keras.

Difahamkan, sebelum ini pun terdapat kisah yang diceritakan ada orang yang hilang, namun sehingga kini gagal ditemui dan kekal menjadi misteri.

Namun, nasib Igih tidak wajar disamakan dengan beberapa kisah lalu.

Ia terlalu menyakitkan bagi ahli keluarganya dan penduduk setempat, malah sesiapa yang bergelar ibu dan bapa.

Justeru, pasukan SAR akan terus berusaha melakukan pencarian melalui pelbagai kaedah di samping ikhtiar lain yang dibuat berlandaskan kepercayaan dan agama masing-masing.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sri Aman, Kapten Huzaimah Ibrahim memberitahu, pasukan SAR sememangnya berhadapan tugas sukar ekoran tiada langsung petunjuk yang dapat memudahkan urusan mengesan Igih.

“Pasukan SAR yang dibantu penduduk bukannya sedikit, hampir 100 orang berusaha mencari Igih.

“Tetapi kita terpaksa mengakui pencarian sangat sukar apabila tiada jejak ditemui.

“Namun, kesepakatan semua pihak harus dipuji untuk tetap memperluas kawasan pencarian mengikut SOP),” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, semalam.

Jelasnya, operasi hari keempat turut dibantu oleh Unit Dron dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Betong.

Operasi dari udara menggunakan dron meninjau kawasan dalam lingkungan tiga kilometer dari lokasi terakhir Igih dilihat, namun tetap tidak menemukan apa-apa.

Beliau menambah, operasi hari keempat semalam terpaksa ditangguh awal ekoran hujan dan disambung hari ini (Ahad) serta radius pencarian juga akan ditambah baik. – Suara Sarawak