GEDONG: Hak Sarawak mesti diakui, undang-undang Sarawak ke atas hak minyak dan gas mesti diakui dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak mahu termasuk dalam Perikatan Nasional.

Ini tiga syarat ditetapkan oleh GPS, untuk menjadi rakan dalam penubuhan kerajaan persekutuan di bawah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Ketua Menteri yang juga pengerusi GPS Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, syarat-syarat ini adalah sebagai hantaran yang harus ditunaikan oleh Muhyiddin jika ingin GPS menjadi rakan dalam kerajaan persekutuan.

“Inilah kedudukan kita untuk menerima lamaran menjadi rakan dalam kerajaan pusat di bawah Muhyiddin.

“Beliau masuk dengan niat baik, jadi kita sambut dengan baik juga,” katanya pada Sesi Townhall Berambeh Ngan CM Abg Jo di Dewan Terbuka Kampung Gedong sempena Karnival Today For Tomorrow (T4T) anjuran Sarawak Volunteers di sini, hari ini.

Abang Johari berkata syarat-syarat berkenaan telah dibincangkan dan dipersetujui oleh semua parti komponen GPS – Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Beliau berkata GPS menetapkan syarat sedemikian demi kepentingan Sarawak, kerana GPS telah menyelamatkan negara daripada kucar kacir akibat kemelut politik yang melanda negara.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata GPS juga akan mempunyai menteri di dalam kerajaan persekutuan.