GEDONG: Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak dapat bekerjasama dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP) kerana parti itu tidak berniat baik, kata pengerusinya Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau yang juga Ketua Menteri menegaskan pendirian itu jelas, disebabkan oleh tindakan DAP ke atas Sarawak ketika menjadi kerajaan persekutuan.

“Kita tidak dapat bekerjasama dengan DAP kerana merekalah yang menuduh Sarawak akan bankrap,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Townhall Berambeh Ngan CM Abg Jo di Dewan Terbuka Kampung Gedong sempena Karnival Today For Tomorrow (T4T) anjuran Sarawak Volunteers di sini, hari ini.

Selain itu, Abang Johari berkata pemimpin DAP juga telah menyebabkan banyak projek infrastruktur Sarawak ditarik balik seperti pembinaan jambatan yang menghubungkan sepanjang kawasan pesisir pantai negeri ini.