SUDAH tiga bulan kita melepasi tahun baharu, pelbagai azam dan impian ingin dicapai. Yang pasti harapan 2020 adalah untuk menjadi lebih baik dan bermakna berbanding tahun sebelumnya.

Antara harapan rakyat kepada kerajaan terdahulu ialah kadar gaji minimum yang diubah selaras dengan perkembangan negara yang berdaya saing. Ini untuk menjamin masa depan rakyat di seluruh negara agar lebih baik dan terjamin.

Jika berlaku, perubahan tersebut dilihat memberi impak besar dalam kehidupan khususnya kepada golongan pertengahan (M40) dan bawahan (B40).

Kerajaan telah memutuskan kadar gaji minimum dinaikkan kepada RM1,200 sebulan di bandar-bandar utama di bawah pentadbiran 57 majlis bandar raya dan majlis perbandaran, manakala kadar gaji minimum kekal pada RM1,100 sebulan di kawasan selain wilayah bandar utama.

Sebelum ini, kadar gaji minimum adalah RM1,000 sebulan di Semenanjung manakala RM920 sebulan di Sabah, Sarawak dan Labuan. Kononnya, kenaikan RM100 itu dikatakan bagi tujuan menambah baik kehidupan rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah.

Bukan itu sahaja, kadar gaji minimum itu akan terus disemak dari semasa ke semasa agar boleh mencapai sasaran RM1,500, selaras dengan janji yang dibuat kerajaan sebelum ini. Namun, sejauh manakah jumlah gaji sedemikian mampu mengubah kehidupan rakyat di Malaysia terutamanya Sarawak dan Sabah?

Adakah ia mencukupi bagi rakyat untuk menjalani kehidupan dengan keperluan asas seperti memiliki rumah, apatah lagi bagi penduduk di bandar? Ini kerana Sarawak dan Sabah antara negeri selain Kedah, Perlis dan Kelantan di Semenanjung yang dikategorikan sebagai negeri miskin, jauh ketinggalan berbanding Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Johor, Pulau Pinang.

Laporan Survei Migrasi 2018 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan migrasi penduduk dari bandar ke bandar lebih tinggi, iaitu 66.9 peratus, berbanding migrasi dari luar bandar ke bandar (19.8 peratus), menunjukkan bandar sebagai satu destinasi bagi rakyat mencari peluang pekerjaan.

Peningkatan ini disebabkan peluang ekonomi dan pekerjaan lebih luas di bandar berbanding luar bandar sehingga membuat mereka terpaksa merantau ke tempat lain terutama kawasan bandar semata-mata untuk mencari pendapatan – mungkin terpaksa menanggung kos hidup yang jelas jauh lebih tinggi kalau dibandingkan luar bandar.

Memetik Sinar Harian Online bertarikh 11 Januari lalu, seorang pensyarah ekonomi Universiti Malaya, Prof Dr Fatimah Kari berkata, walaupun kenaikan itu dilihat agak relatif rendah terutamanya dari segi kos sara hidup yang tinggi khususnya di bandar namun ia adalah langkah wajar berdasarkan iklim ekonomi sedia ada.

Selain itu, menurut Bank Negara Malaysia (BNM) 2017, sebanyak 27 peratus isi rumah masih menerima pendapatan di bawah gaji kehidupan wajar. Jadi, peningkatan kadar gaji minimum ini walaupun jumlahnya kecil, namun masih munasabah.

Bagi memastikan pekerja mendapat gaji yang setimpal, kerajaan perlu meningkatkan kadar gaji minimum sedikit demi sedikit, lebih-lebih lagi di bandar pada masa hadapan.

Secara dasarnya, perubahan ini disokong oleh rakyat meskipun masih boleh dipertingkatkan kerana sebahagian besar kelompok pekerja Malaysia banyak mengorbankan masa dan tenaga demi menambah pendapatan.

Tetapi, malangnya, sejak dua dekad lalu, gaji pekerja masih rendah. Maka pelaksanaan gaji minimum baharu pada tahun ini boleh dikatakan pengiktirafan kepada pekerja yang telah menyumbang kepada ekonomi negara.