KUCHING: Kerajaan Sarawak akan membangunkan Muzium Melayu di Darul Hana yang kini di peringkat reka bentuk.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, muzium berkenaan merangkumi gaya hidup orang kampung termasuk permainan tradisional seperti congkak dan layang-layang.

“Ia adalah usaha kita untuk mempertahankan ekosistem warisan di bandar raya ini.

“Warisan Kuching termasuk benda yang berupa budaya seperti kain songket dan keringkam bukan sahaja menarik para pelancong malah membekalkan produk warisan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Galeri Songket dan Keringkam di sini semalam yang turut dihadiri oleh isterinya, Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.

Menurut Abang Johari, ia juga sebahagian daripada usaha Sarawak mempromosikan warisan dan produk tradisi.

“Ini bermakna, warisan kita bermula dari muzium kampus termasuk Kampung Melayu dan seterusnya menyeberangi Jambatan Darul Hana ke Fort Magherita, air pancut berirama dan Darul Hana.

“Kita mempunyai satu warisan yang merangkumi tengah bandar raya Kuching,” jelasnya.

Katanya, warisan kaum Cina pula bermula di Lebuh Carpenter sehingga ke Padungan. Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Sabariah Putit berkata, Galeri Songket dan Keringkam berperanan sebagai platform pemasaran dan jualan produk berkenaan apabila semua komuniti menjadi pengeluarnya.

“Pelbagai seksyen diwujudkan seperti sewaan, pembelian, sedia untuk dipakai, beg, kasut dan sebagainya.

“Kita juga menyediakan demonstrasi secara digital dan orang ramai boleh bergambar ketika memakai pakaian tradisi Melayu ini,” ujarnya.