DARO: Semangat muafakat penduduk jelas terserlah dalam program kemasyarakatan anjuran Pelabuhan Bintulu Holding Sdn Bhd dengan kerjasama Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan (JKKK) Kampung Badong, semalam.

Penyertaan kira-kira 300 penduduk bukan sahaja melicinkan perlaksanaan program tetapi juga menyerikan lagi aktiviti tanggungjawab sosial korporat (SCR) agensi berkenaan.

Sehubungan itu, Ketua Kampung Badong, Haslimi Hassan berkata, ia merupakan sebahagian program CSR yang kerap diadakan oleh pihak Pelabuhan Bintulu.

“Kita amat gembira kerana mereka memilih Kampung Badong sebagai lokasi program kali ini. Ia merupakan satu penghormatan terbesar. Sudah pasti, kami sangat berbesar hati berpeluang membantu menjayakan penganjurannya.

“Program ini berlangsung dalam suasana meriah dengan melibatkan penyertaan penduduk setempat,” katanya kepada Suara Sarawak.

Haslimi berkata, program diserikan dengan pelbagai aktiviti sampingan termasuk sumbangan pakaian percuma, ceramah dan pemeriksaan kesihatan.

Pada masa yang sama katanya, aktiviti juga sebagai landasan bagi menggalakkan komuniti setempat mengamalkan cara hidup sihat selain memupuk semangat kerjasama.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada Majlis Daerah Matu Daro (MDMD) yang turut membantu menjayakannya aktiviti penuh bermakna ini. Kita berharap ia diteruskan pada masa akan datang berikutan sambutan yang cukup mengalakkan,” ujarnya.

Hadir sama, Pegawai Operasi Pelabuhan Bintulu Holding Berhad, Yusuf Ibrahim, wakil Ahli Parlimen Igan, Basmi Mat, wakil ADUN N.43 Daro, Mohd Suffian Fauzi, Pengerusi Surau Daro Ihsan Badong, Abang Samsuri Abang Wahap dan pemimpin masyarakat.