BETONG: Pemerkasaan aktiviti membaca menerusi program Nadi Ilmu Amalan Membaca (Nilam) berupaya menjana idea kreatif dan inovatif dalam kalangan anak-anak sekolah.

Guru Besar SK)Nanga Ajau James Ali berkata, tiga komponen penting iaitu guru, ibu bapa dan murid itu sendiri harus mempunyai kesedaran tinggi dalam memupuk minat membaca.

Katanya, di sekolah guru harus menyediakan bahan bacaan yang mencukupi sama ada buku berbentuk fiksyen atau sebaliknya.

“Peranan guru kelas, guru mata pelajaran Bahasa Melayu dan Inggeris, penyelaras Nilam, Guru Perpustakaan dan Media (GPM) amat penting.

“Di rumah pula, ibu bapa diharap dapat menyediakan bahan sumber bacaan untuk menggalakan anak-anak suka membaca.

“Komponen ketiga iaitu peranan murid itu sendiri menjadi pendokong utama memastikan dirinya sentiasa membaca tidak kira di mana berada, baik di Pusat Sumber Sekolah (PSS), kelas, rumah atau Pondok Nilai.

“Kemudian, merekod dalam Buku Rekod Nilam,” katanya. Beliau berkata demikian semasa Pelancaran Program Nilam peringkat SK Nanga Ajau.

Jelasnya, bagi mencapai objektif menjadikan murid banyak membaca dan melahirkan tokoh yang berketerampilan, pihaknya menetapkan beberapa strategi untuk dilaksanakan sepanjang tahun ini.

“Sekolah menetapkan satu waktu membaca di PSS dimuatkan dalam jadual kelas bagi subjek Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris atau membawa buku ke dalam kelas.

“Masa di PSS harus digunakan untuk menjalankan aktiviti ‘infohunt’ iaitu murid akan cari maklumat daripada bahan bacaan. “Dalam pada itu, sekolah turut menyarankan penggunaan masa 10 hingga 15 minit semasa pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) untuk membaca teks tentang sesuatu tajuk yang hendak dipelajari.

“Menggalakkan murid membaca pada waktu senggang dan membaca bahan bacaan yang terdapat di Pondok Nilam,” ujarnya.

Menambah lanjut, kejayaan bangsa berkait rapat dengan adanya ilimu dan ilmu itu dapat dikuasai dengan budaya membaca yang tinggi.

“Justeru, sekolah mengharapkan semoga program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya serta mampu mencapai objektif digariskan untuk melahirkan murid cemerlang dari semua sudut.

“Semoga apa jua sumbangan dan bantuan serta penglibatan semua pihak akan melancarkan pelaksanaan program ini,” jelasnya.

Turut serta GPM Amran Rakli.