KUCHING: Ketua Menteri akan mendedahkan sebarang perbincangan dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin dalam Mesyuarat Tertinggi PBB yang dijadualkan hari ini.

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai pertemuannya dengan Muhyiddin di ibu negara beberapa hari lalu selepas melancarkan Galeri Songket dan Keringkam di sini semalam.

Abang Johari yang juga Pengerusi GPS masih mengunci mulut dan memberitahu media untuk menunggu hari ini.

“Tunggu esok (hari ini) ada perjumpaan PBB,” katanya ringkas.

Berikutan pergolakan politik selama seminggu yang melanda Malaysia di peringkat Persekutuan, GPS dilihat sebagai king maker.

GPS mengambil keputusan menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan selepas melihat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir tidak konsisten dengan keputusannya apabila meletak jawatan kemudiannya mencalonkan diri semula sebagai Perdana Menteri.

Terdahulu Abang Johari memberitahu, keputusan menyokong Muhyiddin kerana mengutamakan negara bukannya individu yang berebut kuasa.