KUCHING: Semua taska dan tadika atau prasekolah di negeri ini digesa mengikuti setiap prosedur operasi standard ditetapkan supaya tahap keselamatan dan kesihatan kanak-kanak terjamin sebelum masuk ke dalam kelas.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah menjelaskan, seperti pemeriksaan suhu badan termasuk pemeriksaan tapak tangan dan kaki sama ada mempunyai ruam atau tidak, ia amat penting bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

Jelasnya, dengan isu global wabak Covid-19 kini, amat perlu menyediakan pembersih tangan kepada setiap kakitangan di pusat asuhan itu. “Kementerian menekankan aspek keselamatan dan kesihatan anak-anak. Ini menjadi keutamaan kita. “Setiap taska atau tadika yang berdaftar harus fokus kepada keselamatan, kualiti jagaan serta asuhan dan bimbingan terbaik kepada anak-anak kecil ini,” katanya di sini baru-baru ini.

Beliau mahu taska dan tadika berdaftar membuat pemeriksaan keselamatan yang dikendalikan oleh pelbagai agensi agar kanakkanak ini terus selamat dan sihat semasa menuntut ilmu. Beliau juga menggesa setiap pusat asuhan agar mewujudkan ruang khas kepada anak-anak sebelum memasuki kelas supaya mereka dapat berkongsi perasaan dengan guru masing-masing.

“Kita dapati sebelum anak-anak ini masuk ke dalam kelas, mereka berinteraksi dengan guru mengikut cara yang mereka mahu. “Usaha ini walaupun kecil tetapi penting bagi anak-anak tanpa mengira latar belakang. “Mereka dapat berasa dihargai, disayangi dan diterima untuk terus belajar di sini untuk menjadi insan berguna suatu hari nanti,” ujarnya lagi.

Fatimah memberitahu, program Bersih Awal Bersih Akhir (Baba) yang diperkenalkan sejak 2018 menitikberatkan kepentingan kebersihan dalam diri anak-anak tetap diteruskan hingga kini. “Diharapkan ibu bapa dapat menjadikan pendidikan ini sebagai amalan harian di rumah masingmasing,” katanya.

Ibu bapa yang hadir dalam program itu turut serta dalam ceramah mengenai Covid-19 serta langkah pencegahan yang disampaikan oleh Pegawai Perubatan Pejabat Kesihatan Kuching Dr Gregory Xavier. Berdasarkan statistik di seluruh negeri, seramai 57,673 kanakkanak berusia lima tahun ke atas belajar di 2,893 tadika berdaftar di seluruh negeri ini.

Manakala seramai 3,729 kanak-kanak berusia empat tahun ke bawah belajar di 240 tadika berdaftar.