PULAU BRUIT: Kemiskinan bukan penghalang kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semop untuk meraih keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan baru-baru ini.

Lebih membanggakan apabila Nur Haiqal Haqimi Hamzah, 17, menjadi pelajar pertama sekolah menengah Pulau Bruit itu yang mendapat 6A.

Berasal dari Kampung Salah Kecil, Nur Haiqal tidak sesekali menjadikan ketidakmampuan keluarga sebagai tembok penghalang dan melemahkan semangatnya untuk rajin belajar sekaligus mendapat keputusan cemerlang.

Kengkangan kewangan menyebabkan anak bongsu enam beradik ini berkerja di sebuah kilang papan di Sibu untuk menampung perbelanjaan persekolahannya selain sebagai persediaan untuk melanjutkan pengajian ke pusat pengajian tinggi.

Bercita-cita ingin menjadi pendidik, Nur Haiqal berhasrat untuk memasuki maktab perguruan sementara kakaknya masih lagi mengikuti pengajian di UNITAR dalam jurusan Pendidikan Awal Kanak- kanak.

Sementara itu, Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Abdullah Saidol turut berkesempatan menemui dan menyampaikan sumbangan awal pendidikan kepada pelajar terbabit.

Sambil menyuarakan rasa kagum beliau, Abdullah berkata, kejayaan Nur Haiqal perlu menjadi contoh kepada pelajar lain.

“Kita hulurkan sumbangan kepada pelajar kurang berkemampuan daripada segi kewangan untuk melanjut pelajaran. Saya akan bantu perbelanjaan awal sebelum dia mendapat basiswa Yayasan Sarawak,” katanya.

Beliau yang juga ADUN N.42 Semop berkata, hasratnya ialah untuk membantu setiap pelajar cemerlang di kawasannya termasuk perkampungan Pulau Bruit untuk meneruskan pengajian.

Menurutnya, pertemuan peribadi bersama pelajar terbabit sebagai pencetus motivasi serta bimbingan supaya mereka tidak lemah semangat dan mudah berputus-asa hanya kerana kengkangan kewangan.

” Saya juga berkesempatan memberi bimbingan kerjaya supaya pelajar ini takut untuk memohon dan melanjut pelajaran ke universiti, mengambil kursus-kursus lain walaupun hasratnya untuk melanjutkan pelajaran ke Institut Perguruan.

“Kesungguhan anak kampung ini untuk berjaya dalam pendidikan demi mengubah nasib keluarga serta membina masa depan yang lebih terjamin harus di beri perhatian.

“Saya cuba membantu dan mengurus supaya pelajar ini mendapat bantuan biasiswa dari institusi seperti Yayasan Swk atau Baitulmal,” katanya.

Pada masa yang sama, Abdullah turut menyampaikan sumbangan kepada Naz Irfa Saupi yang meraih 6A dalam UPSR lalu.

Naz Irfa kini melanjutkan pelajaran di Tingkatan Satu SMK Semop.