DALAT: Tebingan Sungai Dalat Fasa Dua akan menjadi tarikan baharu di daerah ini menjelang Pesta Balau dan Regata Dalat 2020 yang dijadual pada Julai depan.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, pembinaan tebingan itu dijadual siap sepenuhnya sebelum pesta tersebut bermula.

“Projek itu akan mengindahkan lagi tebingan sungai yang melibatkan beberapa struktur.

Antaranya benteng, menara pemerhati tiga tingkat, atap menyerupai pokok rumbia, jubin yang direka khas, panel yang menyatakan sejarah tebingan itu termasuk ikon regata.

“Setiap struktur yang dibina ini sinonim dengan Daerah Dalat, sekali gus mencerminkan daerah ini sendiri,” katanya ketika meninjau pembinaan projek itu baru-baru ini.

Menurut Fatimah, peranan tebingan itu mula berubah dan turut digunakan untuk aktiviti riadah keluarga serta aktiviti mingguan Pusat Aktiviti Warga Emas Dalat.

“Malah, kawasan ini kini menjadi tumpuan peniaga untuk berniaga pada waktu siang atau malam,” tambahnya lagi.

Fatimah turut menyerahkan geran MRP kepada PIBG SK St Jude, Kampung Kekan untuk penganjuran kejohanan olahraga, dan kepada Tabung Pendidikan Daerah Dalat bagi membiayai sebahagian kos penyertaan Kontinjen MSS Bahagian Mukah ke Kejohanan MSS Sarawak 2020 di Sarikei.