KUCHING: Kabinet Persekutuan yang akan dibentuk tidak lama lagi menggunakan formula Perikatan Nasional+Gabungan Parti Sarawak (PN+GPS). Pengerusi GPS Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ini kerana GPS merupakan entiti politik tersendiri dalam membentuk Kabinet Kerajaan Persekutuan itu.

“Keputusan menggunakan formula PN+GPS ini telah dibincangkan dengan Perdana Menteri Tan Seri Muhyiddin Yassin dan beliau bersetuju. “Kita membuat keputusan itu kerana mengambil kira kepentingan nasional dan rakyat Sarawak terutamanya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi PBB di ibu pejabat PBB di Jalan Bako di sini baru-baru ini.

Ujarnya lagi, Muhyiddin merupakan seorang pemimpin yang berpengalaman kerana pernah memegang beberapa jawatan dalam Kabinet Persekutuan sebelum ini. “Beliau pernah menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri sebelum ini dan mengetahui keperluan Sarawak.

“Beliau juga pernah ke kawasan pedalaman Sarawak seperti Lawas, Limbang dan banyak lagi, termasuk pernah memegang banyak portfolio ketika menjadi seorang menteri terdahulu,” katanya.

Ketua Menteri turut berpendapat, GPS tidak akan mewakili Pas Sarawak meskipun parti itu menyertai Kabinet Persekutuan.

“Kita ada blok kita sendiri. Tiada Pas dalam GPS kerana parti itu berpangkalan di Semenanjung Malaysia. “Formula kita ialah Perikatan Nasional+GPS dan kita tidak pernah terlibat dalam kemelut politik di sana,” katanya.

Jelasnya, kemelut yang terjadi dua minggu lepas membabitkan Kerajaan Pakatan Harapan, tetapi Kerajaan Sarawak juga tidak boleh membiarkan kerajaan tanpa Perdana Menteri.