ASAJAYA: Program Karnival Mini Kerjaya Asajaya 2020 mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan pencari kerja, kata Ketua Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan Jabatan Tenaga Kerja Sarawak, Asmarina Othman.

Katanya, program itu ialah inisiatif jabatan yang membawa bersama majikan menawarkan jawatan kosong kepada pencari kerja yang tinggal jauh dari kawasan bandar utama.

“Ia akan memudahkan penduduk tempatan dengan menjimatkan masa dan kos pengangkutan jika karnival se-perti ini diadakan berdekatan kawasan tempat tinggal pemohon,” jelasnya.

Asmarina memberitahu, tahun ini JTKS menyasarkan sejumlah lebih 15,000 kekosongan jawatan ditawarkan kepada pencari kerja tempatan. Beliau menambah, sejumlah 15,203 jumlah kekosongan jawatan ditawarkan oleh majikan dan 2,235 pencari kerja berjaya ditempatkan melalui penganjuran 13 karnival kerjaya pada tahun 2019.

“JTKS merancang sejumlah 15 program mini karnival kerjaya, sembilan program karnival kerjaya dan satu Jelajah Kerjaya Transborneo melibatkan kerjasama antara JTKS dan Jabatan Tenaga Kerja Sabah.

“Sejumlah 25 program karnival kerjaya akan dianjurkan oleh Jabatan Tenaga Kerja Sarawak sepanjang tahun 2020, khas untuk pencari kerja di Sarawak,” ujarnya ketika ditemui Suara Sarawak pada Program Mini Karnival Kerjaya Asajaya 2020 di Kampung Tambirat baru-baru ini.

Mengenai program mini karnival kerjaya Asmarina berkata, program itu dianjurkan di bahagian Samarahan merupakan program keempat diadakan tahun ini selepas program mini karnival kerjaya di Lundu, Sri Aman dan Kapit.

Menurutnya, sebanyak 10 majikan di sektor swasta menyertai karnival itu semalam dengan sejumlah 515 kekosongan jawatan yang ditawarkan bagi pelbagai jawatan. Antara kekosongan jawatan ditawarkan bagi calon siswazah terdiri jawatan pegawai audit dalaman, pembantu audit dalaman, penyelia kesihatan dan keselamatan, eksekutif fungsi dan pasaran, pakar peralatan dan penyelia.

Manakala bagi calon bukan siswazah, kekosongan jawatan yang ditawarkan adalah pelbagai seperti pembantu jualan, juruwang, kerani, jururunding takaful, pemandu lori, pemandu folklift, kelindan lori, operator pengeluar, pekerja am dan sebagainya.

Tambah Asmarina lagi, program ini turut melibatkan penyertaan majikan dari Semenanjung Malaysia. Antara aktiviti yang turut dijalankan sepanjang program selain daripada aktiviti temu duga terbuka iaitu aktiviti pendaftaran pencari kerja secara dalam talian di portal JobsMalaysia