SEBUYAU: Mengembalikan hak Sarawak yang terhakis dan menuntut cukai jualan ke atas minyak dan gas merupakan dua agenda penting yang difokus GPS.

Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, dua perkara ini sedang diperjuangkan GPS terhadap Kerajaan Persekutuan.

“Dahulu Pakatan Harapan dalam menifesto berkata jika mereka menang, sebanyak 20 peratus cukai jualan dan hak-hak Sarawak akan dikembalikan kepada kita, tetapi itu janji tinggal janji.

“Sebab itu, Kerajaan Sarawak bertindak menyaman Petronas supaya mereka membayar cukai jualan lima peratus ke atas minyak dan gas kepada kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Sarawak Kita Empun di Dewan Pembangunan Sebuyau di sini, semalam.

Tambah Hasidah lagi, kes berkaitan saman itu bakal didengari semula pada 13 Mac nanti.

“Kita berdoa agar kemenangan memihak kepada Sarawak supaya Petronas membayar cukai yang sepatut menjadi hak rakyat negeri ini,” ujarnya.

Tegas Hasidah, pendirian GPS dalam memperjuangkan hak-hak Sarawak berdasarkan kepada ‘Inter-Govermental Commitee (IGC) dan Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO 1958).

“Kawasan Sarawak besar, sebab itu hasil dasar laut kita banyak tetapi diambil oleh Petronas.

“Sekarang kita minta dibahagikan sedikit keuntungan yang mereka peroleh kepada Sarawak untuk pembangunan seperti pembinaan rumah, jalan raya dan sebagainya,” katanya.

Beliau yang juga Adun Semariang berkata, menjadi tanggungjawab GPS memberitahu kepada rakyat Sarawak mengenai hak-hak yang perlu dipertahankan ini.

Maka katanya, program dianjurkan semalam merupakan platform yang berguna kepada penduduk di kawasan Sebuyau untuk mengetahui agenda yang sedang difokuskan Kerajaan Sarawak.

“Sebab itu, jika ada orang luar bertanya kepada yang hadir di sini, anda tahu macam mana hendak menjawab sebab anda semua tahu hak-hak sebagai rakyat Sarawak,” jelasnya.

Program yang dianjurkan oleh Majlis Tertinggi Wanita Parti PBB Sarawak bersama-sama Pergerakan Wanita PBB N.27 Sebuyau itu dihadiri sekitar 500 penduduk di kawasan itu.

Turut hadir Ahli Parlimen Batang Lupar Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang dan yang lain.