KUCHING: Selalunya dia bermain bola di padang sekolah, entah kenapa hari ini dia boleh berada di sungai.

Itulah luahan Norfarhana Ahmad, 32, ibu kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang dikhuatiri hilang selepas terjatuh di sebuah jeti Kampung Buntal, Santubong sekitar jam 3.40 petang.

Menurutnya, mangsa, Muhd Zainul Arif Jalani berusia 11 tahun terjatuh ke dalam sungai ketika melakukan aktiviti memancing bersama dua rakan sebaya di lokasi berkenaan.

“Dia dikatakan terjatuh ketika sedang tali pancingnya terputus dan tergelincir jatuh ke dalam sungai lalu dihanyutkan oleh air deras.

“Salah seorang rakannya memberitahu mereka sempat menyambar anak saya namun kekuatan mereka tidak mampu menarik mangsa ke atas menyebabkan mangsa dihanyutkan ke tengah sungai,” jelasnya sayu.