KUCHING: Bagai sirih pulang ke gagang, perumpamaan tepat mengenai kembalinya 122 tulang manusia terawal dari Gua Niah yang dibawa jauh dari Amerika Syarikat melalui laluan udara sejak 29 Februari lalu dan tiba semalam.

Khazanah prasejarah dirancang dipamerkan di Muzium Etnologi Sarawak untuk tontonan umum pada Disember depan.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Abdul Karim Hamzah menzahirkan kesyukuran kerana semua lima kotak besar berisi tulang tersebut selamat sampai ke Bumi Kenyalang.

“Saya sendiri bersama-sama rombongan melawat Universiti Florida minggu lalu dan melakukan pembungkusan khazanah bersama-sama dengan pengkaji di sana.

“Saat itu merupakan saat penuh emosi buat pengkaji di sana terutama buat ketua pengkaji Profesor John Krigbaum.

“Beliau sebak dan menitiskan air mata sepanjang proses tersebut.

Oleh kerana tiada kemudahan dan tiada universiti menjalankan penyelidikan di Sarawak pada 1960, usaha dibuat dengan menghantar tulang ini ke Universiti Nevada Amerika Syarikat,” katanya ketika ditemui di MAS Kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Abdul Karim menjelaskan, tulang tulang itu seterusnya dihantar ke Universiti Florida untuk proses dokumentasi dan sebagainya.

Jelasnya, jika tiada halangan muzium baharu yang terletak di tapak lama di Padang Merdeka itu akan dibuka hujung tahun ini.

“Muzium itu akan dilengkapi suasana sebenar Gua Niah…benar-benar mengikut keadaan gua tersebut bagi menempatkan khazanah ini.

“Ia sebuah replika Gua Niah yang berusia lebih 40,000 tahun, sejak tengkorak dan rahang ditemui oleh pasukan cari gali dari Universiti of New South Wales Australia,” ujarnya Abdul Karim menjelaskan, pihaknya turut menandatangani perjanjian dengan Univerisiti Florida supaya kerjasama erat dapat dijalin melibatkan penyelidikan arkeologi muzium termasuk seni persembahan dan sukan.

Ujarnya, usaha membawa balik tulang dimulakan sejak 2010 ketika Yang diPertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud menjadi Ketua Menteri dan diteruskan kepimpinan Kerajaan Sarawak sekarang.

“Sepatutnya tulang ini sampai 4 Februari lalu, namun masalah teknikal dihadapi sepanjang laluan kapal terbang di Singapura dengan situasi Covid-19 kini dan pelbagai perubahan berlaku, namun semuanya berjalan lancar,” katanya.