KUCHING: Masyarakat harus peka terhadap kebersihan persekitaran bagi menjamin keselesaan bersama. Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) Datuk Peter Minos berkata, sehubungan itu, masyarakat perlu mengubah budaya negatif membuang sampah sarap sesuka hati bagi mengelak persekitaran menjadi kotor.

“Setiap individu perlu menanam sikap sayang kepada alam sekitar bagi memastikan keadaan di sekeliling tidak dipenuhi pelbagai jenis sampah sarap,” katanya selepas melawat loji rawatan air di Matang yang dikendalikan oleh syarikat Sar Alam Indah baru-baru ini.

Peter Minos berkata, semua pihak perlu menjalankan tanggungjawab bersama-sama demi kesejahteraan bersama. “Masyarakat perlu mengamalkan sikap mengutamakan kebersihan dalam diri supaya ia dijadikan amalan dalam kehidupan.

“Kita perlu mencontohi masyarakat Jepun yang sangat mengambil berat terhadap isu kebersihan di sekeliling mereka tanpa mengira tempat,” katanya.

Selain itu katanya, masyarakat juga perlu mengurangkan penggunaan plastik dan bungkusan makanan kerana ia bukan sahaja memudaratkan kesihatan, malah turut menjejaskan sistem peparitan ketika musim banjir.

“Semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dan elakkan bergantung kepada usaha majlis perbandaran sahaja dalam menangani isu ini,” ujarnya.