KUCHING: Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) semalam mengesahkan terdapat wakil parti itu yang akan menyertai Kabinet Persekutuan.

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang juga Ketua Menteri berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bersama komponen parti GPS – Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

“Kita telah ditunang Kerajaan Persekutuan untuk menyertai kabinet dan PBB membuat keputusan untuk menyertai kabinet yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin.

“Bagaimanapun, kita menyertai kabinet atas dua sebab,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PBB di ibu pejabat PBB Jalan Bako di sini baru-baru ini. Sebab pertama adalah untuk meneruskan perjuangan yang dikehendaki oleh rakyat Sarawak terutamanya berkaitan dengan kepentingan Sarawak.

“Sekiranya kita tidak menyertai Kabinet Persekutuan, kita tidak tahu apa yang berlaku,” tegasnya. Menurutnya lagi, sebab kedua supaya ahli parlimen Sarawak meneruskan perjuangan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan mengharapkan Petronas patuh kepada undang-undang negeri termasuk pengenaan cukai jualan (SST).

“Bagaimanapun, saya menyerahkan sebarang keputusan kepada Perdana Menteri untuk menentukan portfolio wakil GPS tersebut.

“Ini kerana Perdana Menteri amat berpengalaman, malah pernah melawat sekolah-sekolah di kawasan pedalaman Sarawak ketika menjadi Menteri Pendidikan,” jelasnya. Kata Ketua Menteri lagi, beliau menerima jemputan daripada Perdana Menteri untuk GPS menyertai Kabinet Persekutuan dua hari lalu.

Mengulas mengenai butiran lain mesyuarat berkenaan, Abang Johari berkata, GPS akan memberi penekanan kepada perjuangan menuntut hak-hak negeri ini. “GPS merupakan sebuah entiti politik yang lahir di Sarawak dan terus memperjuangkan hak-hak negeri seperti termaktub dalam Persekutuan Malaysia.

“Sekiranya berlaku krisis dalam negara, maka GPS perlu menimbang untuk meleraikannya kerana ia melibatkan kestabilan negara sekali gus memberi kesan kepada Sarawak,” ujarnya. Beliau turut berkata, kemelut politik yang berlaku baru-baru ini telah menyebabkan nilai ringgit tidak stabil, termasuk tekanan faktor luaran seperti Covid-19.