PUTRAJAYA: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengadakan lawatan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) di Kementerian Kesihatan (KKM) di sini, bagi mendapatkan maklumat berhubung perkembangan terkini COVID-19.

Ketibaan Muhyiddin pada 9.55 pagi disambut oleh Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan pegawai KKM.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Perdana Menteri diberi taklimat oleh Dr Noor Hisham berhubung pengoperasian CPRC, yang antara lain memaparkan data terkini kes COVID-19 di Malaysia serta seluruh dunia dan pusat talian hotline CPRC.

Muhyiddin kemudian mempengerusikan mesyuarat yang turut dihadiri Dr Noor Hisham, Timbalan Ketua Pengarah (Kawalan) Jabatan Imigresen Datuk Abdul Halim Abdul Rahman, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Dr Noor Zari Hamat serta wakil Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Wisma Putra.

Sehingga semalam, jumlah kumulatif positif COVID-19 di Malaysia adalah 117 kes. – Bernama