BINTULU: Hasil kerjasama anggota penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna(KPDNHEP) Sarawak dan Pasukan Polis Marin (PPM) Bintulu berjaya mematahkan cubaan menyeleweng diesel bersubsidi di perairan Sungai Batang Kemena, Bintulu, pada Isnin.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah KPDNHEP, Cawangan Bintulu,Nazari Hassan berkata dalam operasi bersama itu, pihak PPM Bintulu menahan sebuah kapal kargo dengan membawa muatan minyak diesel yang dianggarkan sebanyak 20,000 liter.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kapal kargo itu tidak memiliki lesen atau kebenaran khas untuk mengendalikan barang kawalan iaitu minyak diesel yang dijumpai di dalamnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3 (1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Siasatan akan dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan boleh di denda tidak melebihi tiga juta ringgit bagi setiap barang kesalahan yang dilakukan jika pesalah adalah satu pertubuhan perbadanan

Manakala, jika orang itu bukan satu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi satu juta ringgit bagi setiap kesalahan yang dilakukan atau penjara tidak melebihi tempoh selama tiga tahun atau kedua-duanya.

Tegas Nazari, KPDNHEP Bintulu akan sentiasa memantau dan menjalankan pemeriksaan dari masa ke semasa bagi memastikan tidak berlaku penyelewengan. barangan kawalan.