GEDONG: Kawasan Gedong tidak ketinggalan dalam pelan pembangunan Kerajaan Sarawak, malah menikmati kemudahan jalan raya, bekalan elektrik, air terawat serta perhubungan Internet berkelajuan tinggi.

Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, segala perancangan telah dibuat demi masa depan yang lebih baik untuk masyarakat di kawasan ini.

“Kita ada pelan induk untuk Gedong dan menubuhkan satu agensi khas bagi membangunkan kawasan ini termasuk di Simunjan,” katanya. Beliau berkata demikian pada Sesi Dialog Awam Berambeh Ngan CM Abg Jo di Dewan Terbuka Kampung Gedong sempena Karnival Today For Tomorrow (T4T) anjuran Sarawak Volunteers di sini baru-baru ini.

Menurut Abang Johari, antara yang sedang diusahakan ialah menubuhkan taman pertanian, membuka peluang kepada generasi muda untuk berkecimpung dalam pertanian moden menggunakan teknologi digital. “Apa yang kita bangunkan ini berasaskan kehendak masa depan, yang semuanya menggunakan teknologi.

“Saya lihat generasi baharu kita sudah mendapat pendidikan yang baik termasuk dalam teknologi maklumat (IT). “Jadi ilmu ini boleh digunakan untuk menambah nilai kepada kekuatan yang ada seperti menjalankan pertanian secara moden, pertanian digital dan sebagainya,” tambahnya lagi.