LIMBANG: Lantikan Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan satu keputusan tepat.

Pemanca Kaum Bisaya Jun Silah berkata, penglibatan Hasbi dalam agensi serta politik semestinya memberikan kelebihan kepadanya dalam menjalankan tanggungjawab berkenaan.

Jun menambah, Hasbi pernah menjadi Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) selama lapan tahun sebelum ini.

“Saya percaya pengalamannya sepanjang menerajui LPKP semestinya memberikan kelebihan dan pengalaman yang berguna dalam bidang pengangkutan,” tegasnya kepada media.

Oleh itu Jun beharap, dengan perlantikkan berkenaan akan memberi banyak manfaat kepada negara dan masyarakat Limbang khasnya.

Jelasnya, masyarakat Limbang sudah lama dibelenggu dengan masalah rentas sempadan melibatkan negara Brunei seperti penggunaan cermin gelap kereta.

“Diharapkan dengan lantikan timbalan menteri pengangkutan dari kawasan ini, masalah sedemikian akan dapat diselesaikan,” ujarnya.

Jun menambah, masyarakat Bisaya merakamkan sekalung tahniah atas lantikan tersebut dan memberi jaminan terus memberikan sokongan padu kepada Hasbi selaku wakil rakyat Limbang.