LIMBANG: Pesta Bedudun bukan sahaja wadah penyatuan masyarakat, malah dapat mempromosikan budaya di sini kepada pelawat dari Brunei, Labuan serta Miri.

Pengerusi Persatuan Melayu Limbang (PML) Mohamad Abu Bakar berkata, ia akan berjaya kerana pesta itu walaupun dianjurkan jauh dari kawasan bandar, mampu menarik lebih 5,000 pengunjung.

“Kami berharap kerajaan sentiasa menyokong program melibatkan penyertaan masyarakat pelbagai kaum dan agama di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media semasa Pesta Bedudun dan Lumba Kerbau 2020 di Kampung Lubok Sigantang, kelmarin.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Menurutnya, melalui Pesta Beduduk masyarakat dapat berkumpul dalam satu tempat (pesta) tanpa mengira agama, bangsa dan budaya.

“Seperti yang kita lihat hari ini (semalam), masyarakat tidak mengira kaum dan agama datang memeriahkan pesta ini.

“Ini sangat bersesuaian dengan tujuannya iaitu untuk mengumpul masyarakat dalam satu pesta,” tambahnya.

Katanya, pelbagai acara dianjurkan sepanjang pesta itu untuk mempromosikan budaya masyarakat Melayu.

Isteri Awang Tengah, Datuk Dayang Morliah Awang Daud; Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail; Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah; Adun Batu Danau Paulus Palu Gumbang; Residen Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi; Pegawai Daerah Limbang Superi Awang Said dan Walikota Majlis Daerah Limbang Kaunselor Sufian Mohat turut hadir.