KUCHING: GPS melihat pilihan yang terbaik ialah menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri, kata Timbalan Ketua Pemuda Parti PBB Fazzrudin Abdul Rahman.

Katanya, GPS hanya menyokong individu menjadi Perdana Menteri, bukannya bergabung dengan mana-mana parti untuk membentuk kerajaan baharu. “Apabila Perdana Menteri dipilih, GPS masih lagi berjuang atas landasan yang sama iaitu mengutamakan hak-hak Sarawak.

“Sekiranya Tun Mahathir Mohamad kekal menjadi Perdana Menteri, GPS kekal sebagai parti yang berkecuali dari mana-mana pakatan mahupun perikatan,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook.

Beliau yang juga Adun Tupong berkata, Perdana Menteri melantik atau tidak melantik Ahli Parlimen GPS dalam kabinet menteri, perjuangan GPS tetap sama. Jelas Fazzrudin, Ahli Parlimen GPS tidak dilantik dalam kabinet, GPS akan memperjuangkan hak Sarawak melalui cara luar kabinet.

Tambahnya kini, Perdana Menteri berhasrat melantik Ahli Parlimen GPS dalam kabinet menteri maka GPS pejuangkan hak Sarawak melalui kabinet menteri.

Justeru katanya, ia memudahkan GPS terlibat secara lansung dalam pembentukan dasar tetapi bukan sebahagian dari komponen Perikatan Nasional. Dalam perkembangan lain, GPS dikaitkan bersama-sama Umno dan PAS ini akan menjejaskan kedudukan kaum dan agama lain.

Fazzrudin menjelaskan bahawa GPS yang terdiri daripada berbilang kaum dan agama faham akan keperluan dan sensiviti rakyat Sarawak. Tegasnya, GPS tidak akan membiarkan apa-apa elemen yang boleh memecahbelahkan perpaduan Sarawak masuk ke negeri ini.

“Tidak adil untuk mengaitkan penglibatan Umno dan PAS akan menjejaskan kedudukan orang bukan Islam di Sarawak. “Jangan mempergunakan agama untuk kepentingan politik, hargailah perpaduan antara kaum di Sarawak,” katanya.