MIRI: Pelbagai reaksi diterima daripada lapisan masyarakat termasuk warga belia sebaik GPS mengumumkan keputusan menyertai kabinet Persekutuan dengan nama Perikatan Nasional + GPS tetapi bukan sebagai ahli parti perikatan itu.

Ahli Parlimen Belia Malaysia Spanksi Steven berkata, formula PN+GPS yang dimaklumkan Pengerusi GPS Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg idea yang baik. “Saya melihat formula ini sebagai sesuatu yang boleh melantunkan suara dan kepentingan Sarawak apabila kita dimasukkan dalam kabinet.

“Namun itu semua percaturan pemimpin atasan dan kita hanya mampu melontarkan pendapat,” katanya. Selain itu, Spanski juga sempat mengingatkan bahawa GPS bukan bergabung bersama-sama PN seperti yang pernah Kerajaan Sarawak lalui bersama-sama BN dahulu.

“Ketua Menteri memberitahu semalam bahawa GPS menerima pelawaan PN untuk menyertai kabinet demi kepentingan negara,” jelasnya.

Manakala Pengerusi Belia Miri Matassan Rohani pula berkata, tindakan Kerajaan Sarawak menerima lamaran Muhyiddin untuk menyertai Kabinet Persekutuan adalah betul.

“Mungkin ini salah satu rancangan Kerajaan Sarawak bagi melestarikan pembangunan ekonomi luar bandar serta memudahkan secara terus dalam perjuangan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). “Kerajaan sudah mengusahakan perkara tersebut, ia terbantut disebabkan pertukaran kerajaan,” katanya.

Tambahnya, ini langkah yang baik bagi Sarawak agar tidak ketinggalan dalam usaha membangunkan infrastruktur seluruh negeri dan memperjuangkan MA63. “Kerajaan Sarawak perlu berada dalam Kabinet Persekutuan agar terlibat dalam proses membuat keputusan membabitkan perjuangan hak untuk negeri,” ujar Matassan.