KUCHING: Seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun yang bertindak mengeluarkan kenyataan menghina agama Islam dan Kristian di laman media sosial (Facebook) ditangkap polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani mengesahkan suspek ditangkap di rumahnya berhampiran Tabuan Dusun, Jalan Kedandi Lorong 7/7a sekitar jam 9.30 malam.

Menurutnya, tangkapan dilakukan susulan laporan polis yang dibuat oleh seorang pihak awam semalam yang terbaca posting dimuat naik pada FB milik suspek.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek telah membuat kenyataan menghina agama Islam dan agama Kristian dengan memuat naik ke laman FB miliknya.

“Pemeriksaan turut mendapati suspek juga melakukan penghinaan terhadap Sultan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada laman sama,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, suspek telah pun direman dan kes masih dalam siasatan.

Ujarnya, kes disiasat dibawah seksyen 298 Kanun Keseksaan/ Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1988.