SIBU: Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing memberi bayangan bahawa Pilihan Raya Negeri Ke-12 akan diadakan tidak lama lagi.

Katanya, ia mungkin diadakan dalam tahun ini. Beliau berkata demikian semasa berucap menghadiri Majlis Sambutan Hari Wanita Sedunia anjuran Exco Wanita Parti Rakyat Sarawak (PRS) Wilayah Tengah di sini baru-baru ini.

“Tidak lama lagi, kita akan menghadapi PRN-12. Ia semakin hampir mungkin dalam tahun ini. “Justeru kita mahu Wanita PRS bersedia bersama-sama dengan ahli parti yang lain. Ini pertempuran besar kerana kita berdepan parti dari Semenanjung Malaysia seperti PKR dan DAP,” katanya.

Masing menasihati agar ahli parti tidak gentar menghadapi apa-apa kemungkinan berlaku pada PRN-12 kelak. Beliau menyifatkan wanita sebagai orang yang boleh dipercayai dan setia dalam politik serta organisasi mereka. Jelasnya, peranan wanita sangat perlu untuk memperkukuhkan kesetiaan terhadap GPS.

“Selain itu, wanita juga adalah orang yang boleh menunaikan serta mengotakan kata-kata mereka,” katanya. Masing yang juga Menteri Pembangunan Pelabuhan dan Infrastrukttur berkata, beliau akan memastikan golongan wanita di negeri ini akan mendapat perhatian daripada GPS.

Bercakap mengenai konflik politik di ibu negara baru-baru ini, Masing memberitahu bahawa GPS mempunyai peranan besar dalam menyelamatkan serta menstabilkan politik negara. Kata Presiden PRS itu, dengan sokongan GPS kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin membolehkannya dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-8.

“Anda semua dapat lihat sumbangan kita terhadap kestabilan politik negara,” jelasnya sambil menambah, disebabkan ketidakstabilan politik itu negara dilapor mengalami kerugian kira-kira RM43 bilion dalam satu hari.

Mengenai pembentukan Kerajaan Persekutuan melalui Perikatan Nasional, Masing memberitahu bahawa GPS tidak berada di dalam gabungan PN tetapi bekerjasama sebagai parti mesra persekutuan. “Perikatan Nasional + GPS membentuk kabinet di peringkat Kerajaan Persekutuan dan GPS tidak terikat dengan mereka seperti dengan BN dahulu,” tambahnya.