BINTULU: Sepuluh keluarga membabitkan 87 penghuni rumah panjang, Elwin Ugan, Sungai Binyo, Sebauh tinggal sehelai sepinggang apabila rumah panjang mereka musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

Tuai Rumah Elwin Ugan semasa ditemui memberitahu, ketika kejadian, tidak terdapat seorang penghuni di rumah panjang terbabit ekoran kebanyakan daripada mereka bekerja di bandar Bintulu dan kawasan lain.

Menurutnya,beliau dimaklumkan mengenai insiden yang meranapkan rumah panjang tersebut oleh penduduk berdekatan yang melihat cahaya dan kepulan asap dari rumah panjang berkenaan.

Punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Zulkipli Suhaili mengesahkan Pondok Polis Sebauh ada menerima makluman daripada Tuai Rumah Elwin mengenai kejadian itu pada jam 9.03 pagi tadi.

Penyelia Pondok Polis Sebauh dikerahkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan pemeriksaan ke lokasi kejadian.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bintulu Dato Sri Tiong King Sing sejurus menerima makluman, segera mengarahkan kakitangan di Pusat Khidmat Wakil Rakyat P. 217 Bintulu menghantar bantuan berupa makanan dan wang tunai kepada mangsa kebakaran.