DEBAK: Adun Saribas Mohammad Razi Sitam meminta kerjasama penduduk supaya lebih bertanggungjawab memelihara ekosistem alam seperti sungai dengan mengamalkan kaedah penangkapan yang berhemah. Katanya, aktiviti meracun atau menuba sangat tidak bertanggungjawab kerana memberi kesan buruk bukan sahaja kepada alam tetapi kehidupan marin seperti ikan dan udang.

“Sungai Rimbas di Debak ini merupakan habitat utama udang galah, ikan bulu serta baung yang mana cukup popular dalam kalangan penduduk setempat. “Tetapi sekiranya ada dalam kalangan masyarakat kita yang melakukan aktiviti meracun atau menuba, saya fikir keistimewaan Sungai Rimbas akan hilang.

“Kita sayangkan sungai ini dan saya minta hentikan aktiviti penangkapan hasil sungai secara haram. Ini bagi memastikan nelayan-nelayan kita terus dapat bergantung harap kepada Sungai Rimbas ini sungai sebagai sumber pendapatan. “Selain itu, udang galah, ikan bulu serta baung Sungai Rimbas akan dapat dinikmati generasi masa depan,” katanya kepada Suara Sarawak selepas menyempurnakan pelepasan 5,000 benih udang di Kampung Lalang baru-baru ini.

Beliau jelasnya mengharapkan dapat diwujudkan jawatankuasa di peringkat kampung untuk memantau aktiviti penangkapan hasil sungai secara haram. “Saya melihat, perbincangan pemimpin kampung dan nelayan-nelayan satu kaedah terbaik. “Kerana kita tidak mahu mereka yang menjadikan sungai sebagai sumber pendapatan akan terjejas,” ujarnya.

Razi meminta agensi berkaitan untuk bersama-sama membendung aktiviti meracun atau menuba. Beliau berterima kasih kepada Jabatan Pertanian Bahagian Betong dan mengharapkan pada masa akan datang mereka terus membekalkan anak benih udang dan ikan baung untuk dilepaskan di Sungai Rimbas.

Suara Sarawak dalam pada itu sempat mendapatkan respons beberapa nelayan sungai berhubung aktiviti menangkap hasil sungai secara berhemah. Bagi Philip Aduan, 56, yang berkecimpung lebih 30 tahun bergelar nelayan turut kecewa dengan sesetengah pihak yang suka mengambil jalan mudah untuk mendapatkan hasil.

Katanya, aktitiviti meracun atau menuba akan memusnahkan khazanah sungai. “Bagi kira-kira 30 nelayan yang aktif di Debak, amat tidak bersetuju dengan aktitiviti meracun atau menuba. “Ia akan membunuh pelbagai jenis hidupan sungai dan kesannya, ikan-ikan yang popular seperti bulu dan baung termasuk udang galah akan musnah. Harap dapat dibendung,” jelasnya.

Beliau mengharapkan kerajaan dapat membantu nelayan sungai di Debak dalam apa jua cara. Sementara itu Abang Shamsudin Abang Morsidi, 50, menyatakan, walaupun Debak bukan kawasan nelayan yang popular tetapi Sungai Rimbas tetap menjadi sumber rezeki sebahagian penduduk.

“Misalnya saya sendiri yang menyara keluarga dengan hasil menangkap ikan. “Tetapi kalau aktitiviti meracun atau menuba terus berlaku bagaimana nasib kami? Sebab itu, saya mengharapkan penduduk mengambil serius saranan Razi dan bersama kita memelihara sungai,” katanya. Beliau katanya mengharapkan pemimpin di peringkat akar umbi agar dapat memikirkan sesuatu yang mungkin memberi kebaikan kepada semua pihak.