BALAI RINGIN: Balai Ringin bakal menjadi sebuah daerah kecil dan akan terus dimajukan dari semasa ke semasa. Menurut Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan, status daerah kecil akan memudahkan mereka untuk mendapatkan peruntukan.

Menurutnya beberapa pembangunan yang telah pun dilakukan di sini, termasuk Jambatan Pantu (RM20 juta), Jalan Kedumpai sehingga ke Sungai Indai Sega (RM12.5 juta), Jalan Muding (RM2 juta) dan Stadium Mini Balai Ringin (RM10 juta).

“Projek pembinaan tiga buah jalan raya pula bermula dari Kampung Tuba, Muding, Mentu sehingga ke Sungai Indai, dari Batang Seterap, Semawa sehingga ke Kampung Sapak dan dari Kampung Empaling sehingga ke Kampung Gayau. “Dua hari sebelum pelancaran GPS di Pekan Lachau, saya sendiri bertemu Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengenai tiga jalan raya di sini yang dianggarkan bernilai RM394 juta.

“Peruntukan paling besar ialah di Kampung Tuba kerana ia merangkumi 70 kilometer. Pembinaan jalan raya ini akan dilakukan secara berperingkat-peringkat dalam tempoh lima tahun. Beliau berkata demikian semasa Randau Ruai GPS Bersama Datuk Snowdan Lawan di Rumah Kaunselor Philip Langit Danau Melikin baru-baru ini.

“Saya berharap penduduk kampung memberikan kerjasama erat sebaik pihak kerajaan memulakan pembinaan nanti,” jelasnya. Snowdan turut menyalurkan bantuan sebanyak RM89,000 kepada JKKK dan Biro Wanita enam buah kampung berhampiran. Sementara itu, beliau meminta tuai rumah di kawasan Balai Ringin agar sentiasa aktif menyuarakan permohonan untuk mendapatkan projek pembangunan.

“Jika tuai rumah tidak aktif, maka sesebuah kampung itu sukar untuk maju. Saya menyeru agar tuai rumah keluar, bertanya, bertemu dengan pegawai daerah, mendapatkan maklumat untuk kampung dan sentiasa rajin,” katanya. Tambah Snowdan, tuai rumah memainkan peranan penting kerana telah dipilih penduduk kampung untuk memegang jawatan itu.

“Tuai rumah tidah boleh jauh daripada wakil rakyat, kerana mereka adalah ‘jambatan’ untuk menyalurkan maklumat dan bantuan kepada penduduk. “Kita mahu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) setiap kampung menghantar minit mesyuarat enam kali setahun,” ujarnya.