BINTANGOR: Seorang pemandu lori nyaris maut apabila kenderaan yang dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam parit di Simpang Skim B, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superitendan Alexson Naga Chabu, berkata, pemandu berusia 49 tahun itu terselamat dalam insiden kira-kira 10.10 pagi.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu lori terbabit cuba memberhentikan lorinya bagi mengelak merempuh sebuah kenderaan lain di hadapan yang tiba-tiba membrek secara mengejut.

“Ia kemudiannya hilang kawalan sebelum menghala ke kiri jalan dan terbalik.

“Mangsa yang dalam perjalanan dari Miri ke Kuching bernasib baik apabila tidak mengalami kecederaan, hanya lorinya rosak bahagian depan dan sebelah kiri,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak tujuh kereta yang dimuatkan di atas lori itu turut terjatuh ke atas jalan raya.