PADAWAN: Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah lori di
simpang Taman Moyan, Jalan Batu Kawa/Bau pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri Superintendan Alexson Naga Chabu berkata mangsa, Lim Min Hua, 18, dari Lorong 2, Musi, Bau disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala dan kaki.

Menurutnya kejadian dilaporkan sekitar jam 7.50 pagi ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Bau menuju ke MJC.

Katanya apabila sampai di tempat kejadian, mangsa yang bekerja swasta telah dilanggar oleh sebuah lori yang dipandu seorang lelaki.

“Lori terbabit datang dari arah MJC dan hendak membelok ke kanan untuk masuk ke simpang Taman Moyan.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke bahu jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala dan kaki,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Alexson berkata pemandu lori terbabit, yang berusia 31 tahun dari Taman Mutiara Jalan, Jambusan, Bau tidak mengalami kecederaan.

Katanya kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.