SETELAH menumbangkan pasukan pilihan JDT II 4-1 di Kuching Sabtu lalu, Sarawak United FC (SUFC) komited untuk melakar satu lagi kemenangan apabila turun menentang Selangor II di gelanggang lawan malam ini (Rabu).

Pengurus SUFC I, Afiq Fikri Brahim berkata, para pemain sekarang ini begitu bersemangat untuk meneruskan rentak kemenangan.

“Kemenangan ke atas JDT II mencetuskan semangat membara dalam kalangan pemain. Ia merupakan petanda yang positif.

“Namun kita bakal menghadapi saingan sukar kerana pasukan lawan juga dahagakan kemenangan setelah kalah dua kali,” kata Afiq.

Sementara itu, jurulatih SUFC, E. Elavarasan memberi pesanan kepada anak-anak buahnya agar berhati-hati kerana Selangor II bukanlah calang-calang pasukan.

“Ia merupakan satu tugas yang mencabar bagi kami… namun kami akan berusaha sedaya upaya untuk meraih mata,” katanya.

Menurutnya, mereka kini masih dalam pembentukan pasukan, namun sudah menampakkan bibit-bibit keserasian dalam kalangan pemain.

Lebih menarik, SUFC kelihatan begitu tajam di bahagian serangan melalui penampilan menarik Patrick Ronaldinho. Yang pasti, beliau akan terus bergandingan dengan Amri Yahyah di bahagian serangan.

SUFC akan menentang Kuala Lumpur di Kuching pada 18 Mac nanti.

SUFC kini berada di tangga keenam, dengan satu kemenangan dan satu kekalahan. Mereka kalah 4-2 kepada Pulau Pinang di Batu Kawan dan menang 4-1 ke atas JDT II di gelanggang sendiri.