KUCHING: Pembentukan Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak di Jabatan Perdana Menteri menunjukkan kedudukan Sabah dan Sarawak kini diberikan perhatian khusus dalam Kerajaan Persekutuan.

Adun Tellian Yussibnosh Balo berkata, bahagian itu akan memainkan peranan penting kerana ia melibatkan dua negeri di Malaysia Timur.

“Kita ketahui bahawa dua negeri ini memiliki kepelbagaian etnik, budaya, kebebasan anutan kepercayaan dan keagamaan yang membentuk perpaduan jitu hingga ke hari ini.

Ia juga merupakan bahagian baharu yang diwujudkan dengan mengambil kira tuntutan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Sabah dan Sarawak merupakan wilayah yang mempunyai sumber kekayaan semula jadi yang telah banyak menyumbang kepada pendapatan ekonomi Malaysia,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.

Yussibnosh berkata, pembentukan Kabinet Kerajaan Persekutuan kali ini memperlihatkan kedudukan Kerajaan Sarawak di bawah GPS memainkan peranan penting dalam politik negara hari ini.

Untuk itu jelasnya, rakyat negeri ini harus bersama-sama mempertahankan GPS demi kelangsungan dan kemajuan Sarawak, khususnya dalam perancangan ke arah negeri termaju menjelang 2030.