SKUAD warga kota, Kuching FA mengalami kekalahan ketiga berturut-turut dalam saingan Liga Premier 2020 dan terbaharu, tewas 2-1 kepada Terengganu FC II di gelanggang sendiri malam tadi.

Dua aksi sebelum itu juga menyaksikan mereka juga kalah dengan jaringan yang sama (2-1), kepada UKM (di Kuching) dan Kelantan United di tempat lawan.

Dua lagi perlawanan yang lebih sukar menunggu Kuching FA selepas ini, sebelum rehat dua minggu.

Sabtu ini, mereka akan menentang pendahulu liga, Pulau Pinang di Batu Kawan dan selepas itu, menentang pasukan Liga Super, UiTM dalam kempen Piala FA, juga di tempat lawan.

“Kami akan berusaha sedaya upaya, dan akan membaik pulih kedua-dua perlawanan tersebut,” kata pengendali Kuching FA, Ideris Untong.

“Kita akan cuba untuk memenanginya,” jelasnya.

Dalam saingan malam tadi menyaksikan Kuching FA sekali lagi gagal memanfaatkan aksi di gelanggang sendiri.

Lebih parah, pasukan pelawat menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-90.

“Sekali lagi kita dihukum, dengan jaringan pada penghujung perlawanan. Ketika kita asyik mencari gol kemenangan, kita alpa dalam aspek pertahanan walaupun hanya sekali-sekala diserang,” ujar Ideris.

Bagaimanapun menurutnya, terdapat peningkatan dari segi penguasaan bola dengan beberapa gerakan menarik, namun malangnya peluang gagal disempurnakan.

TFC II membuka tirai jaringan seawal minit keempat melalui Nur Shakar, namun Kuching FA menyamakan kedudukan menerusi Hudson Dias pada minit ke-27 Ketika saingan berakhir dengan seri, TFC II akhirnya menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-90 melalui bintang import, Argzim Redzovic.

Dalam aksi tersebut Kuching FA membariskan lima pemain pertahanan iaitu Hairol Mokhtar, Rames Lai Ban Huat, Dzulazlan Ibrahim, Mazwandi Zekeria dan Yuki Tanigawa.

Manakala bahagian tengah menampilkan Tommy Mawat, Yuta Suzuki dan Zainudin Bohri.

Sementara bahagian serangan diterajui Hudson Dias dan Joseph Kallang T.