ASAJAYA: Seorang lelaki warga emas maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah motosikal di Kilometer 4, Jalan Kota Samarahan/Asajaya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri Superintendan Alexson Naga Chabu berkata mangsa, Darhaman Peli @ Kipali, 71, dari Kampung Tambay, Kota Samarahan maut di tempat kejadian.

Menurutnya, kejadian sekitar jam 8.30 malam tadi berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal dari arah Pangkalan Feri menuju ke Asajaya.

“Apabila tiba di tempat kejadian, mangsa telah dilanggar oleh sebuah kereta dari arah belakang yang dipandu seorang remaja lelaki berusia 19 tahun, dipercayai hilang kawalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Alexson menambah susulan kemalangan itu, sebuah lagi motosikal yang ditunggang seorang lelaki dari arah Kampung Rembus hendak pulang ke rumah di Kampung Tanjung Parang kemudian telah melanggar mereka.

Katanya lelaki berusia 30 tahun itu bersama motosikalnya telah tercampak ke bahu jalan namun hanya mengalami luka dan calar.

Manakala pemandu kereta, remaja lelaki dari Kampung Tanjung Parang masih belum sedarkan diri.

Menurut Alexson, semasa kejadian cuaca dalam keadaan baik, namun keadaan jalan gelap tiada lampu jalan.

Katanya kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.