KUCHING: Langkah penyelesaian berkesan untuk jangka panjang dilakukan bagi menguruskan sektor industri pelancongan. Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri sehubungan itu berkata, dia akan terus bekerja keras untuk mengatasi cabaran yang dihadapi negara sekarang terutama dalam industri pelancongan.

“Sektor pelancongan dan industri penerbangan menghadapi masalah dalam keadaan serta situasi sukar ini. “Saya percaya ekonomi negara cukup berdaya tahan untuk mendepani cabaran-cabaran ini dan dengan barisan Kabinet baharu ini. “Kami akan mengambil kesempatan terhadap semua peluang yang ada, untuk bertahan melalui krisis ini,” katanya dalam kenyataan.

Nancy berkata, Malaysia hari ini menghadapi cabaran besar pada peringkat global dan tempatan dengan keadaan ekonomi tidak menentu, termasuk kesan penularan Covid-19. “Kita akan mengambil kesempatan daripada semua peluang yang ada dalam mengharungi krisis ini,” katanya.

Beliau berkata, fokus utamanya ialah memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara. “Keutamaan saya adalah mendahulukan keperluan rakyat dan negara dalam melaksanakan tanggungjawab diamanahkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Dr Noor Zari Hamat dalam kenyataan menyifatkan pelantikan Nancy sebagai peneraju baharu kementerian itu adalah tepat dan seiring, dengan keperluan industri itu.

“Pemilihan dan pelantikan beliau amat bertepatan, kerana negara memerlukan pemimpin berkarisma dan berdedikasi untuk memacu sektor pelancongan, kesenian dan kebudayaan, sebagai pemangkin pertumbuhan sosio ekonomi yang mampan serta memperkasa, memelihara dan memulihara seni, budaya dan warisan negara.

“Kredibiliti, kepimpimpinan dan pengalaman luas beliau pastinya, dapat merangka pelan tindakan strategik dan hala tuju pembangunan pelancongan, kesenian dan kebudayaan negara, yang komprehensif dan berdaya maju,” katanya.