DARO: Kesungguhan kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup penduduk pedalaman di DUN N.43 Daro terbukti melalui perlaksanaan projek pembinaan jalan raya bagi kemudahan rakyat di kawasan itu.

Projek yang terkini melibatkan pembinaan jalan raya sepanjang 20 kilometer di Sebena sekaligus mengakhiri penantian penduduk di kawasan itu sejak sekian lama.

Perlaksanaan projek yang menelan kos sebanyak RM36.1 juta itu bermula 13 Mac dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh tiga puluh bulan.

Sehubungan itu, ADUN N.43 Daro, Safiee Ahmad berkata, pembinaan kemudahan yang dilaksanakan di bawah projek rakyat itu membukti keperihatinan ketua menteri terhadap aspirasi rakyat luar bandar.

“Kita di DUN Daro cukup bertuah kerana turut mendapat perhatian Ketua Menteri. Malah beliau sendiri turun padang melawat kita di Kpg Penasu sebelum meluluskan peruntukan untuk projek yang berimpak besar untuk rakyat ini, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir pada Majlis Penyerahan Tapak Cadangan Menaiktaraf Jalan Bawang Assan, Tanjung Manis, Sungai Ilas, Kampung Sebena (Fasa II) Daerah Meradong, hari ini.

Mengulas lanjut, Safiee berkata, jalan baharu yang panjang keseluruhannya kira-kira 20 kilometer itu terbahagi kepada empat bahagian.

Katanya, bahagian pertama sepanjang 8.6 kilometer dilaksanakan dalam Fasa Satu dengan perbelanjaan sebanyak RM2 juta yang melibatkan dua buah jambatan.

“Kita panjangkan jalan ini ke dua buah rumah panjang di Ilas dengan melibatkan sebuah jambatan.

” Seterusnya kita sambungkannya ke Sebena sepanjang 5.8 kilometer. Ini juga melibatkan pembinaan sebuah jambatan kerana ada sungai. Kemudiannya menghubungkan dua lagi rumah panjang di Mabel dan perkampungan Cina di Muara Stubah,” katanya.

Sementara itu kata beliau, jalan raya sepanjang 10.7 kilometer di Nanga Semah yang bakal dinikmati penduduk lapan buah rumah panjang, sebuah klinik dan sekolah di Kampung Penasu. Projek yang menelan kos sebanyak RM34 juta ini telah dilaksanakan sejak tahun lepas.

“Sebuah lagi jalan yang bernilai kira-kira RM41 juta turut dibina untuk menghubungkan penduduk kampung Passin di Matu. Jalan ini panjangnya 17.5 kilometer.

Dalam pada itu, Safiee menyumbangkan sebanyak RM5,000 kepada JKKK, RM5,000 untuk PIBG dan RM3,000 untuk masjid Sebena. Manakala Ahmad Johnie pula menghulurkan sumbangan RM3,000 kepada setiap tiga pertubuhan berkenaan.

“Saya berharap penduduk di kawasan ini memberikan kerjasama agar pelaksanaan semua projek berjalan lancar. Apa yang paling penting terus memberikan sokongan padu kepada kerajaan GPS,” katanya.

Hadir sama, Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, Pegawai Daerah Meradong Baijuri Bidin, Pegawai Daerah Meradong, Jurutera JKR, Ketua kampung, Affendi Tani, ketua-ketua jabatan dan pemimpin masyarakat.