KUCHING: Kerajaan Sarawak menandatangani perjanjian dengan firma perunding The E-Factor Sdn Bhd bagi kajian penstrukturan semula Mahkamah Bumiputera Sarawak, hari ini.

Kajian yang dijalankan dari 6 Januari lalu dan dijangka siap pada 9 Oktober nanti bertujuan meningkatkan kerelevanan dan status Mahkamah Bumiputera berkaitan dengan undang-undang Bumiputera dan adat penduduk peribumi Sarawak.

Menandatangani bagi pihak kerajaan Sarawak ialah Ketua Pendaftar Mahkamah Bumiputera Sarawak Datu Michael Dawi Alli manakala E-Factor diwakili pengerusinya, Datu Ose Murang.

Upacara yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini, turut disaksikan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Hadir sama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri Muda Undang-Undang dan Adat Bumiputera Datuk John Sikie Tayai serta Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Gerawat Gala.

Justeru, Uggah melahirkan keyakinannya bahawa E-Factor akan dapat mencari penyelesaian untuk menyusun semula dan meningkatkan Mahkamah Bumiputera.

“Kajian ini akan melibatkan pasukan peguam yang sangat berpengalaman dalam hak, adat dan amalan penduduk peribumi,” katanya.

Sementara, Jaul berkata lebih daripada 80 pemimpin masyarakat yang terdiri daripada Temenggong, Pemanca, Penghulu serta Ketua Kaum dari Bahagian Serian, Samarahan dan Kuching turut hadir pada sesi perjumpaan dengan perunding mengenai kajian itu.

“Sesi yang sama juga akan dibuat dengan pemimpin masyarakat dan ketua kampung di Miri, Sibu dan Sri Aman.

“Para pemimpin dan ketua masyarakat ini adalah yang menangani pelanggaran adat, perkahwinan di bawah adat dan adat istiadat.

“Mereka adalah pemegang kepentingan penting dan perunding terlibat dengan seberapa banyak yang mungkin untuk maklum balas, input dan cadangan tentang peranan masa depan mereka di Mahkamah Bumiputera yang disusun semula,” katanya.