KUCHING: Tujuh warga asing terdiri daripada tiga lelaki dan empat wanita, termasuk seorang lelaki tempatan ditangkap ketika sedang menjalankan kegiatan perjudian dalam talian di sini, hari ini.

Kesemua mereka dicekup dalam serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak di sebuah banglo dua tingkat di Jalan Bukit Hantu, yang dijadikan pusat operasi kegiatan haram itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Denis Leong berkata semasa serbuan dilakukan turut mendapati enam komputer memaparkan aplikasi yang digunakan untuk menjalankan operasi haram berkenaan.

“Hasil daripada kegiatan ini, sindiket dipercayai memperoleh antara RM20,000 hingga RM30,000 sehari,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan.

Denis berkata semua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjek (IPK) Sarawak untuk siasatan lanjut.

Katanya tangkapan kali ini adalah yang kelima pada tahun ini, ke atas premis yang dijadikan pusat operasi perjudian atas talian.

Justeru, beliau memohon agar orang ramai memberi kerjasama kepada polis dengan menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui tentang kegiatan perjudian dalam talian.