BINTULU: Seramai 35 peserta terdiri daripada jawatankuasa tertinggi pelbagai persatuan di bahagian Bintulu menyertai Kursus Pengurusan Persatuan Belia Peringkat Bintulu, semalam.

Kursus anjuran Pejabat Kementerian Belia dan Sukan Sarawak Bahagian Bintulu ini antara lain bertujuan memberi pendedahan serta pengetahuan berhubung pengurusan belia dari aspek pelapiran kewangan, pengurusan mesyuarat dan cara membuat kertas kerja.

Penolong Setiausaha Tetap(Pembangunan Belia) Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Paul Kawin Anak Pipo dalam ucapan ringkasnya menyeru semua pemimpin belia khususnya di bahagian Bintulu supaya pro aktif, lebih efisien dalam menjalankan tugas.

Beliau berharap melalui penganjuran kursus tersebut, peserta dapat mempertingkatkan kemahiran pengurusan persatuan belia masing-masing.

Katanya, Sarawak mempunyai bilangan penduduk yang ramai dengan 40 peratus daripadanya merupakan golongan belia berumur 15 hingga 30 tahun.

Sebagai aset negara dan mewarisi kemajuan negeri ini selaras dengan matlamat untuk mencapai negeri maju menjelang tahun 2030, pemimpin persatuan belia perlu mempersiapkan diri untuk menggalas tugas dan tanggungjawab ke arah merealisasikan matlamat tersebut,ujarnya.

Ini, jelasnya, kerana kemajuan sesebuah negara bergantung kepada kualiti serta kepimpinan belia.

Pada masa yang sama, Paul turut menyeru pemimpin serta semua anggota persatuan beliau supaya menekankan aspek perpaduan antara kaum di dalam persatuan masing-masing.

Sarawak, memiliki etnik yang berbilang, Justeru perpaduan kaum di kalangan anggota masyarakat perlu dikekal dan dipelihara tanpa mengira latarbelakang bangsa dan agama tegasnya.